Info Penuntut Baru
Hubungi Pihak ISMA Australia (Cawangan South Australia) & MISSA melalui ruangan di bawah:
————————————————————————–
Alhamdulillah dan tahniah. Segala penat lalah sepanjang di pusat persediaan sama ada INTEC, Kolej Taylors, Kolej Sunway, Kolej Bandar utama mahupun di mana-mana akhirnya membuahkan hasil yang setimpal. Realitinya, segala tenaga, daya dan kekuatan yang digunakan sewaktu bertungkus-lumus mengharungi ‘derita’ SAM atau AUSMAT mesti dipergunakan semula dengan amaun yang sama dalam tempoh peralihan daripada mendapat keputusan sehinggalah satu masa di mana kamu mampu bertenang di Adelaide kelak.
Dokumen
Langkah pertama selepas mendapat keputusan yang cemerlang ialah dengan mempersiapkan segala dokumen yang mesti dibawa. Secara umumnya terdapat empat dokumen asas yang mesti dibawa sepanjang masa sewaktu perjalanan ke Adelaide nanti – passport, salinan visa pelajar, surat pengesahan pendaftaran dan afidavit kewangan. Pasti ramai yang sudah pun menyiapkan dokumen-dokumen tersebut sebelum ini. Syabas diucapkan. Pastikan kesemua dokumen ini disimpan di tempat khusus.
Barang-barang
Apa yang perlu dibawa ke Adelaide nanti? Memang menjadi persoalan utama pelajar-pelajar baru akan dimana perlu membeli pakaian panas seperti jaket, jumper dan sweater. Untuk pengetahuan semua, Adelaide dan hampir kesemua kawasan di Australia masih mengalami musim panas dengan suhu setinggi 35°C pada waktu siang dan serendah 14°C pada waktu malam. Oleh itu, disarankan agar kamu membeli pakaian panas di Adelaide sahaja supaya tidak menambah beban beg kargo kamu nanti.
Selain pakaian panas, persoalan makanan juga timbul. Kamu mungkin mahu membawa makanan-makanan segera yang kamu sukai atau perencah-perencah mudah, ataupun makanan-makanan tertentu yang ’sangat’ disarankan oleh ahli keluarga kamu. Kamu boleh rujuk di laman web Kerajaan Australia: Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan untuk informasi tentang barang-barang yang tidak boleh dibawa masuk ke Australia.
Kediaman Impian
Pasti ramai yang tertanya-tanya, “Dimanakah harus aku tinggal nanti?”, “Adakah aku akan tinggal dengan keluarga orang putih?” dan sebagainya. Perkara ini sebenarnya mempunyai urutan maklumat yang berbeza mengikut tempat dan universiti. Namun secara umumnya, kamu haruslah memilih antara dua, sama ada tinggal dalam kediaman yang disediakan pihak universiti ataupun sebaliknya. Justeru itu, pemilihan kediaman haruslah dibuat dalam tempoh peralihan ini agar tidak berlaku sebarang kemungkinan ketiadaan tempat tinggal. Namun, kes seperti ini tidak pernah dilaporkan berlaku setakat ini.
Bagi bakal penuntut University of Adelaide, pihak universiti menyediakan beberapa jenis kediaman, dan yang paling popular dalam kalangan orang Malaysia ialah ‘The Village’. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web. University of Adelaide: Perkhidmatan Kediaman. Walau bagaimanapun, kediaman ini menjanjikan peti duit anda tidak pernah penuh kerana deposit, bond dan bayaran bulanan yang boleh dikategorikan sebagai mahal. Pilihan seterusnya haruslah diambil kira. Bakal penuntut University of South Australia pula boleh rujuk di sini manakala bakal penuntut Flinders University pula di sini .
Pilihan seterusnya yang harus diambil kira itu diistilahkan sebagai ‘tinggal diluar’. Pilihan ini pula mempunyai 2 sub-pilihan, sama ada tinggal dibilik sewa sendiri atau tinggal dirumah sewa sendiri. Maklumat berkaitan sub-pilihan pertama boleh dirujuk di laman web Kampung Antarabangsa Adelaide. Untuk sub-pilihan kedua, kamu bersama-sama 3 atau 4 orang rakan-rakan kamu berkongsi sewa sebuah rumah di kawasan suburb Adelaide mampu menjanjikan amaun duit simpanan yang boleh dilihat dengan mata kasar dengan kadar sewaan setinggi $300 seminggu! Maklumat lanjut boleh ditanyakan kepada senior-senior di Adelaide.
Taklimat Pra-Pelepasan
Taklimat yang penting yang harus diwajibkan pergi ialah yang dianjurkan oleh penaja masing-masing. Taklimat ini berkisarkan tentang maklumat penerbangan, talian-talian penting andai berlaku kecemasan, pemberian elaun sara hidup untuk beberapa bulan pertama dan pelbagai hal penting lagi. Taklimat yang dianjurkan oleh pihak universiti dan pihak IDP pula akan berkisarkan tentang suasana pembelajaran di universiti, lokasi dan infrastruktur universiti dan hal-hal lain berkaitan universiti. Tarikh-tarikh taklimat akan diberitahu oleh pihak-pihak berkaitan kelak.
Penjemput di Adelaide
Setiap tahun, hampir kesemua penuntut baru Adelaide dijemput oleh senior-senior yang sudah kembali awal ke Adelaide. Senior Adelaide ini boleh membantu anda dalam segenap aspek tatacara hidup di luar negara. Mereka boleh carikan rumah sewa, memberi tumpang rumah sementara mencari rumah, membawa anda berjalan-jalan, menghantar anda ke kediaman yang telah anda pilih, menghantar anda ke sana ke mari dan sebagainya. Selain senior, pihak unversiti juga menyediakan perkhidmatan yang sama untuk poin kedua dan keempat sahaja. Setelah kehidupan kamu mulai tenang, maka kamu akan mampu menjadi perwira nusa yang mampu berdikari di Adelaide kelak. InsyaAllah.
Universiti
Tujuan ke Adelaide nanti ialah untuk belajar. Oleh itu, universiti perlu kamu pergi untuk dilawati dan yang paling penting ialah untuk membuat kad pelajar. Dengan kad pelajar, kamu boleh mula mengakses pangkalan data universiti dan seterusnya mendaftar subjek-subjek berkaitan.
Bank
Terdapat beberapa bank yang meberikan kemudahan menimpan wang, namun bergantung kepada penaja, hanya bank tertentu yang boleh penaja salurkan sumber kewangan kamu, seperti Bank of South Australia bagi pemegang biasiswa JPA dan MARA, serta ANZAC Bank untuk pemegang biasiswa PETRONAS. Senang dan mudah untuk membuka akaun!
Itulah 7 perkara utama yang harus diambil peduli setelah mendapat tawaran universiti kelak. Sebarang ragu-ragu dan persoalan boleh direalitikan dengan menghubungi senior-senior. Walaupun tampak susah, namun perancangan yang teliti dan kerjasama rakan-rakan dan senior-senior pasti akan dapat mempermudahkan segala urusan.

SELAMAT DATANG KE ADELAIDE!


Leave your response!
You must be logged in to post a comment.