Retrospektif SLB ‘09
Bermula dari pukul 9.00 pagi, pelajar-pelajar tahun satu di Adelaide mula memenuhi dewan Bradford Lodge di Rose Park. Program Seminar Langkah Bermula 2009 yang setiap tahun diadakan mencatat sejarah peserta yang paling ramai pada tahun ini. Oleh kerana terlalu ramai pelajar baru yang ingin mendapatkan maklumat dan perkongsian pengalaman daripada seniors dan orang lama di Adelaide, dewan Bradford Lodge menjadi penuh dan kekurangan kerusi sehingga para petugas program terpaksa berdiri sepanjang program berlangsung. Namun, itu sedikit pun tidak mematahkan semangat para petugas yang sangat komited membantu warga Adelaide yang baru tiba.
Program anjuran bersama MISSA, MASCA, Kelab UMNO SA dan PETSA berlangsung dengan ucapan daripada tetamu jemputan iaituMr Kent daripada South Australia Police, wakil daripada MSD, dan Encik Hassan. Setelah selesai sesi penerangan secara umum, peserta menjamah sarapan pagi mereka dan meneruskan program dengan sesi pengenalan persatuan-persatuan pelajar di Adelaide termasuklah MISSA sendiri.
Program diteruskan dengan sesi forum oleh ahli panel yang berpengalaman seperti Dr. Zaki Ibrahim, Encik Zahari dan saudara Bukhari Ramli. Setelah disajikan dengan maklumat dan selok belok menghadapi kehidupan di Adelaide, peserta disajikan hiburan daripada dua artis mashyur di Adelaide iaitu Abang Halim dan Abang Ibrisham.
Setelah penat telinga mendengar semua informasi dan hiburan, tibalah masa yang dinantikan oleh semua, makan! BBQ yang telah mula dimasak sejak dari pukul 10 pagi lagi dengan sekelip mata sahaja hilang dari bekas-bekas yang disediakan, begitulah laparnya para peserta.
MISSA mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua yang berusaha dan bekerjasama menjayakan program Seminar Langkah Bermula 2009. Harapan MISSA agar para pelajar baru dapat menyesuaikan diri dan tidak berasa asing di bumi bertuah ini. Semoga kita bertemu lagi dalam aktiviti lain di lain hari. InsyaAllah.










persembahan yang mantap!
(^_^)v
Leave your response!
You must be logged in to post a comment.