Obama dan Kemenangannya
Barack Obama, seorang berkulit hitam, menang dalam Pilihanraya Amerika 4/11/2008 lalu, mengalahkan McCain, berkulit putih dan bakal menjadi Presiden Amerika 2 bulan lagi, negara orang kulit putih. Pendirian-pendirian Parti Demokrat (parti Obama) dan Parti Republikan (parti McCain dan Bush) banyak berbeza dalam isu dalaman Amerika, tetapi tidak jauh berbeza dalam menekan dan menundukkan negara-negara dan umat Islam. Bill Clinton dari Parti Demokrat (parti Obama) semasa menjadi Presiden Amerika di tahun-tahun 1990an adalah diantara orang yang menghentikan Jihad Islam di Bosnia ketika Jihad tersebut mekar dan mengalahkan Serbia yang telah membunuh 250,000 umat Islam sepanjang 1992-95. Tentang isu Palestin, saya melihat sendiri kempen Obama yang menyokong Israel dengan berpendirian Israel adalah sekutu Amerika yang terkuat, Jerusalem yang bersatu adalah ibu negara Israel (ketika ini Jerusalem Barat milik Israel dan Jerusalem Timur milik umat Palestin). Semalam Obama melantik Rahm Emanuel, anak nasionalis Yahudi sebagai Ketua Staff Rumah Putih, satu jawatan paling berpengaruh, walaupun mendapat kritikan berbagai pihak. Sememangnya individu-individu dan lobi Yahudi telah membarah lama di jasad pelbagai institusi di Amerika termasuk kedua-dua parti Demokrat dan Republikan sendiri. Saya percaya kebanyakan pejuang Islam yang jelas fikrahnya akan menilai kemenanagan Obama dengan kacamata di atas.

Dalam entri kali ini saya ingin sampaikan apa yang menarik disebalik kemenangan Obama di negara yang memimpin dan terkuat di dunia, yang perlu diambil pengajaran oleh umat lain yang ketinggalan dalam memegang kepimpinan dunia.
Kepimpinan dunia, seperti yang dinikmati Amerika zaman ini, adalah anugerah Allah kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
“Qulillahummama likal Mulk, tuktil Mulka man tasyak …”
“Katakanlah kerajaan itu adalah milik Allah. Engkau memberi kerajaan/kepimpinan kepada siapa yang Engkau kehendaki. Engkau rentap kepimpinan dari siapa yang Engkau kehendaki. Engkau memuliakan siapa yang Engkau kehendaki. Engkau hina sesiapa yang Engkau kehendaki. DitanganNya kebaikan. Sesungguhnya Engkau berkuasa atas tiap sesuatu”.
Setelah umat Islam dijajah dan lalai, kepimpinan dicabut dari mereka dengan berakhirnya Khilafah Islam pada tahun 1924, diambilalih oleh British, Amerika dan Barat sehingga ke hari ini. Walaupun kafir, mereka memiliki sekurang-kurangnya kelebihan tertentu hingga melayakkan mereka mengambil alih kepimpinan dunia dari umat Islam. Walaupun beriman, umat Islam umumnya telah kehilangan banyak syarat dan kekuatan asasi yang dikehendakki Allah agar melayakkan mereka memimpin dan membimbing dunia. Ini rahsianya dan tidak difahami ramai umat Islam. Anehnya saya dapati Obama (dan ramai pimpinan Barat) menyelami beerapa hakikat, dari ucapan kemenangan beliau yang lalu di Chicago. Rasulullah saw juga telah mendidik para Sahabat ra hakikat-hakikat ini iaitu :
- Ideologi atau Fikrah mengatasi bangsa dan warna kulit dalam perjuangan mana-mana umat. Dalam ucapan di Chicago semalam Obama menyebut diantara pengundi Amerika ialah seorang wanita kulit hitam berumur 107 tahun. Dizaman wanita itu dilahirkan, seorang sepertinya tidak boleh mengundi kerana jantina dan bangsanya. Hari ini Amerika berbeza, semua rakyat membentuk negara Amerika yang satu dan bersatu. Ucapan ini dikala ramai pemimpin orang Islam yang memainkan isu perkauman untuk mencapai misi peribadi demi mendapat kuasa.
- Landasan kekuatan dan perjuangan ialah ideologi dan fikrah. Obama menyatakan bahawa Amerika kuat bukan kerana kekayaan dan senjata semata-mata yang memang sedang dinikmatinya, akan tetapi kerana demokrasi, kebebasan dll yang menjadi ideologinya. Pegangan ini dikala ramai pemimpin umat Islam berjuang kerana periuk nasi dan meratah kontrek projek sana dan sini.
- Rakyat Amerika sendiri telah menunjukkan kepada dunia terutama umat Islam bahawa warna kulit dan bangsa tidak menjadi masalah kepada mereka dikala ramai umat Islam dididik dan diomokkan isu perkauman sempit hingga menjadi darah daging mereka dan lupa kepada anjuran-anjuran Rasulullah saw. “Dengar dan taatilah, walaupun yang memimpin kamu seorang hamba dari Habsyi (Afrika) …”.
- Amerika menunjukkan contoh ulung kepada dunia dan umat Islam satu bentuk kebebasan dan syura yang wujud di negara mereka iaitu “Kerajaan Rakyat, Dari Rakyat dan Untuk Rakyat”, dikala banyak negara umat Islam dibarahi kediktatoran, ketidakadilan dan ketakutan dikalangan warganegaranya melata, disamping televisyen dan akhbar hanya dimonopoli oleh satu pihak sahaja.
Kita berdoa dan berharap agar Amerika samada berubah menjadi lebih baik aqidah, akhlak dan peranannya di dunia sehingga Islam mendominasi kehidupan masyarakatnya, atau Amerika terus dibarahi Yahudi dan Syirik, runtuh ketamadunan dan kepimpinannya, lalu dikalahkan oleh umat Islam yang berkualiti dan hakiki dimasa terhampir.
Kita juga berdoa agar umat Islam kembali kepada ajaran dan penghayatan islam yang hakiki yang dibawa oleh Rasulullah saw. Hanya dengan membaiki dan meningkatkan kualiti Islam mereka, Allah akan mengembalikan kepimpinan dunia ini kepada mereka sekali lagi seperti yang pernah dikecapi oleh generasi-generasiislam yang terdahulu. Ameen.
[Rujukan: Ustaz Abdul Halim, inijalanku.wordpress.com]










Leave your response!
You must be logged in to post a comment.