Home » Headline, Tazkirah

Muharram

25 December 2008 904 Views No Comment

MUHARAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri. Pada satu Muharam inilah Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.

Bulan pertama, Muharam merupakan bulan yang suci dan dilimpahi rahmat. Pada asasnya, Muharam membawa maksud ‘diharamkan’ atau ‘dipantang’, berdasarkan ayat 36 pada surah At-Taubah, yang bermaksud:

Sesungguhnya jumlah bulan menurut ialah 12 bulan sebagaimana dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menjadikan langit dan bumi, dan diantaranya terdapat empat bulan yang haram (Zulqaedah, Zulhijjah, Muharam and Rejab). Itulah agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi (dalam bulan yang empat) dan perangilah kaum musyrikin sebagaimana merekapun memerangi kamu semua. Dan ketahuilah Allah sentiasa bersama orang-orang yang bertakwa.”

Ayat di atas bermaksud bahawa Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Antara amalan yang dianjurkan untuk dijadikan amalan dalam menyambut Maal Hijrah ialah:

  • Membaca Doa Akhir tahun (sebelum maghrib – 29 Zulhijjah)
  • Membaca Doa Awal Tahun (Setelah Maghrib – 1 Muharam)
  • Berpuasa di bulan Muharam
  • Berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam) dan berlapang-lapang bersama ahli keluarga pada hari tersebut.

Kupasan amalan ini dibincangkan pada huraian petikan di bawah.

Doa Awal Tahun

Barangsiapa yang membaca doa awal tahun ini, insya Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut. Doa ini dibaca selepas Maghrib malam 1 Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata, “Telah amanlah anak Adam ini daripada godaanku pada tahun ini kerana ALLAH telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan.”

Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

Doa Akhir Tahun

Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata: ”Hampalah kami di sepanjang tahun ini”. Doa ini dibaca sementara menanti waktu Maghrib pada malam 29 Zulhijjah.

Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

Anjuran berpuasa di bulan Muharam

Daripada empat bulan yang diharamkan itu, Muharam telah dirahmati dengan kelebihan-kelebihan tersendiri.Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:

‘Seutama-utama puasa sesudah bulan Ramadhan ialah dalam bulan Allah yang dimuliakan, yakni Muharam, dan seutama-utama solat setelah solat wajib ialah solatullail, yakni solat sunat pada waktu malam’

Hadis tersebut bukan bermaksud berpuasa pada seluruh bulan Muharam, tetapi setiap hari berpuasa akan mendapat ganjaran yang tersendiri. Walaupun berpuasa pada bulan Muharam tidak diwajibkan ke atas orang Islam, namun bagi orang yang berpuasa atas kerelaan sendiri akan mendapat pahala yang besar di akhirat kelak, InsyaAllah.

KELEBIHAN PUASA BULAN MUHARAM

Daripada Abi Hurairah Radiallahu anhu ia berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda : “Seafdhal – afdhal puasa selepas daripada bulan Ramadhan ialah puasa bulan Muharram”.

Daripada Ali bin Abi Talib Radiallahu anhu ia berkata : “Seorang lelaki bertanya kepadaku: Bulan apakah yang engkau mahu perintahkan kepadaku supaya aku berpuasa selepas bulan Ramadhan?”. Ali Radiallahu anhu berkata : Aku tidak pernah dengar seseorang yang bertanya tentang hal ini kecuali seorang lelaki yang aku dengar ia bertanya kepada Rasulullah s.a.w. pada hal aku sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w. maka lelaki itu bertanya kepada Rasulullah s.a.w. : Ya Rasullulah bulan apakah yang engkau nak perintah kepadaku supaya aku berpuasa selepas bulan Ramadhan? Rasulullah s.a.w. menjawab : Jika engkau mahu berpuasa selepas bulan Ramadhan maka puasalah pada bulan Maharram kerana sesungguhnya bulan itu adalah bulan Allah.

HARI ASYURA’

10 Muharam – Dinamakan juga hari ‘Asyura’. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran. Peristiwa lain yang berlaku pada hari ini seperti penciptaan arasy, Luh Mahfuz, alam, dan Malaikat Jibril.

AMALAN YANG DIGALAKKAN PADA HARI ASYURA

Berpuasa

Dari Muawiyah b. Abu Sufyan meriwayatkan bahawa: ‘Saya dengar Rasulullah s.a.w bersabda : “Hari ini ialah hari Asyura’ dan kamu tidak diwajibkan berpuasa padanya. Dan saya sekarang berpuasa, maka siapa yang suka, berpuasalah, dan siapa yang tidak, berbukalah!’

Berlapang-lapang

Diterima dari Jabir bin Abdullah r.a bahawa Rasullulah s.a.w bersabda: ‘Barangsiapa memberi kelapangan bagi dirinya dan bagi keluarganya pada hari Asyura’ maka Allah akan memberi kelapangan baginya sepanjang tahun itu.’

Selain dua amalan ini, amalan harian lain juga adalah digalakkan untuk dilakukan pada hari tersebut, namun hanya dua amalan ini sahaja yang disertakan dengan Hadis.

KELEBIHAN PUASA PADA HARI ASYURA’

Daripada Ibni Abbas Radiallahu anhuma berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah berpuasa pada hari Asyura’ dan memerintahkan manusia supaya berpuasa pada hari itu. Makna hari Asyura’ ialah hari yang kesepuluh daripada Muharram dan berpuasa pada hari itu adalah sunnat yang dituntuti kerana Allah menghapuskan dosa orang yang berpuasa setahun yang lalu kerana sesungguhnya hari itu adalah hari Muasawi. Dan berpuasa pada hari Arafah, Allah menghapuskan dosa orang yang berpuasa 2 tahun yang lalu kerana sesungguhnya hari itu adalah hari Muhammad. Pada asal kalimat, berpuasa pada sepuluh hari bulan Muharram adalah perintah wajib. Tetapi, kerana telah di nasakhkan menjadi sunnat, maka perintah puasa pada hari Asyura’ itu amatlah besar pahalanya.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya:

Ibnu Abbas r.a pernah ditanya mengenai masalah berpuasa pada hari Asyura. Beliau menjawab: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa sehari pada hari Asyura kerana mencari kelebihan iaitu fadhilat yang tidak ada pada hari-hari yang lain selain dari hari ini.

Daripada A’isyah Radiallahu anha ia berkata :

Adalah hari Asyura’ itu satu hari yang telah berpuasa oleh orang Qurais pada zaman jahiliyyah dan adalah Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah ia pun berpuasa pada hari itu dan ia memerintahkan manusia supaya berpuasa. Apabila puasa bulan Ramadhan telah di fardukan, maka puasa pada hari Asyura’ itu tidak menjadi wajib lagi dan mereka pun meninggalkan amalan berpuasa pada hari Asyura’. Maka barangsiapa menghendaki, hendaklah berpuasa dan barangsiapa tidak menghendaki bolehlah meninggalkannya.

Diterima daripada Ibn Abbas r.a katanya:

Tatkala Rasullulah berpuasa pada hari Asyura’ dan memerintahkan orang agar berpuasa, mereka berkata: “Ya Rasullulah, ia adalah satu hari yang dibesarkan oleh orang Yahudi dan Nasrani”. Maka ujar nabi: “Jika datang tahun depan, InsyaAllah, kita berpuasa pada hari kesembilan”. Kata Ibnu Abbas: “Maka belum datang lagi tahun depan itu, Rasullulah s.a.w pun wafatlah.

Dan pada riwayat lain pula dikatakan:

“Maka ujar Rasullulah: “Seandainya saya masih ada hingga tahun depan, maka saya akan berpuasa pada hari ke sembilan, yakni bersama Hari Asyura’”

Berdasarkan pendapat ulama’, dinasihatkan supaya menunaikan puasa tambahan, iaitu samada berpuasa selama tiga hari iaitu hari ke sembilan, sepuluh, dan sebelas, atau berpuasa pada hari kesembilan dan sepuluh, atau pada hari kesepuluh atau sebelas. Ini adalah untuk membezakannya dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani pada hari kesepuluh tersebut.

Penutup

Di samping berazam dengan azam-azam baru dalam kita menyambut tahun baru masihi, adalah menjadi satu tuntutan untuk kita lebih-lebih lagi mempersiapkan diri kita dalam menyambut dan menghayati Tahun Baru Islam, 1430H. Wallahualam.

Rujukan:

Share/Save/Bookmark

Leave your response!

You must be logged in to post a comment.