Mewaspadai Ujub pada Ketaatan
Hidayah merupakan suatu kurniaan dan nikmat yang amat berharga dikurniakan Allah SWT kepada hamba-hamba yang dikehendaki-Nya. Sebagai seorang mukmin dan muslim yang berusaha sedaya upaya untuk meraih redha Allah SWT, saat hidayah Allah hadir menolak diri untuk beramal, tidak dapat tidak ia merupakan suatu saat yang tersangat indah. Bersyukur dan hargailah hidayah yang datang menyapa di celah-celah kehidupan kita.
Semalam kita mampu berpuasa, bangun dan bersolat malam, bersedekah dan cergas dengan amal kebaikan. Namun di suatu saat yang lain kita terbaring dan termangu sambil iman meronta dan merayu kekuatan dari Allah SWT untuk terus bangkit beramal.
Seorang muslim pastilah bersuka cita kerana mendapat taufik dan hidayah yang diimpikan-Nya, lalu memohon kepada-Nya agar semua amalan diterima di sisi-Nya, serta tidak ujub pada diri sendiri.

Waspadailah sifat ujub pada ketaatan diri sendiri dan janganlah terpedaya. Kerana kita sendiri tidak tahu; adakah amal-amal kita diterima oleh-Nya atau tidak. Boleh jadi masih ada cacat dan cela, dan tidak mustahil pula masih disinggahi sigat riya’, tidak ikhlas, dan ujub. Ketahuilah, sesungguhnya sifat ujub itu membinasakan dan merosak ketaatan. Kerana itu, Ali r.a. berkata,
“Keburukan yang membuatmu sakit lebih baik dari kebaikan yang membuatmu ujub.”
Menurut Ibnu Atha’illah dalam Hikmah,
“Barangkali Allah membukakan pintu ketaatan bagi Anda. Tetapi, belum tentu Dia juga membukakan pintu penerimaan amal-amal Anda. Di sisi lain, Anda juga mungkin ditakdirkan berlaku maksiat, tetapi kemaksiatan tersebut malah membuat Anda mencapai-Nya. Maksiat yang mewariskan kesedaran akan kehinaan dan kepedihan hati masih lebih baik daripada kebajikan yang disertai ujub dan kesombongan.” Contoh dari kebajikan yang disertai ujub dan kesombongan: selesai berbuat kebajikan Anda berkata, “Siapa yang boleh menandingiku? Aku berpuasa dan bangun malam. Aku solat tarawikh dan solat malam. Aku bersedeqah dan member makan orang yang berpuasa.”
Wahai orang yang malang, yakinkah Anda bahawa semua ini diterima di sisi Allah SWT?
Dikisahkan beberapa orang soleh yang pada satu ketika sedang berada di sisi seorang Syaikh yang sakit dan sedang sakaratul maut. Mereka mendapati Syaikh tersebut menangis. Timbullah tanda tanya, “Mengapa Anda menangis? Bukankah Allah telah memberikan taufik-Nya pada Anda untuk beramal soleh? Berapa banyak solat, puasa, sedeqah, haji, dan umrah yang Anda kerjakan?” Syaikh tersebut menjawab, “Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah hanya menerima ibadah (korban) dari orang-orang yang bertakwa“. Siapa yang menjamin aku termasuk bahagian dari mereka?”
Kerana itu, Anda harus bahagia tika mana Allah SWT memberikan taufik-Nya. Tetapi, jangan ujub! Takut dan waspadailah makar Allah. Abu Bakar As-Shiddiq r.a. berkata,
“Demi Allah, aku tiada merasa aman dari makar Allah, sekalipun salah satu kakiku berada di syurga.”
Seorang mukmin akan selalu memperhatikan kehidupan akhirat, berharap rahmat Tuhan, dan takut akan azab-Nya. Maka, ia senantiasa berada di antara raja’ (pengharapan) dan khauf (takut), sebanyak apa pun amal yang telah ditunaikan.
Wallahu’alam.
[Sumber: Olahan dan petikan dari hasil tulisan Syaikh Yusuf Al-Qardhawi oleh Ibad, BTinfo]










Leave your response!
You must be logged in to post a comment.