Kita Generasi Yang Kuat!
Sudah hampir sebulan rasanya kita telah menempuh alam universiti di luar negara. Alhamdulillah, kita masih di sini, sibuk dengan kerja-kerja universiti, semakin biasa dengan budaya hidup di Adelaide dan semakin ramai kawan-kawan OZ.
Tiada lagi rasanya yang masih merungut rindukan kampung di Malaysia dan kempunan masakan mak. Mungkin harga tiket flight yang mahal berjaya meredakan perasaan ‘homesick’yang membuak-buak. Tetapi rasanya rata-rata menyatakan keseronokan hidup di sini dengan pengalaman yang semakin sarat dan skil-skil masakan yang pelbagai. Barangan shopping pun semakin bertambah dari hari ke hari. Apa yang pasti, itu semua adalah satu kejayaan yang cukup untuk mematangkan diri ini bila mana kita berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.
Namun, jangan lupa kita masih dipermulaan kehidupan. Destinasi kita masih jauh. Kejayaan pertama kita tidak akan melalaikan tujuan utama kita. Keselesaan hidup kita di sini tidak akan melupakan jati diri kita. Kesibukan akademik kita tidak akan mengabaikan kewajipan utama kita. Kita adalah generasi yang kuat yang tidak akan terpengaruh dengan perubahan suasana yang melemahkan jiwa. Malah kita adalah generasi yang semakin kuat dengan mengutip manfaat-manfaat yang ada di mana pun kita berada. Bak kata orang-orang muda “peluang kebaikan jangan dilepaskan, peluang kejahatan jauh-jauhkan”.
Itulah kita, tidak lelah untuk terus berusaha mencari kebaikan. Kalau tidak percaya itu adalah kita, tanya diri sendiri, siapa kita?
Ahmad Muslim Ahmad Roslan
Presiden MISSA 2008 / 2009










Leave your response!
You must be logged in to post a comment.