Home » Tazkirah

Kisah Kegemilangan Islam

22 April 2009 586 Views No Comment

Kegemilangan Islam masa lampau bukanlah suatu rahsia bagi kita. Namun, kunci kepada kegemilangan itulah yang perlu dikorek dan digali. Antara kunci utama kepada kegemilangan zaman lampau adalah wujudnya individu-individu yang bercita-cita tinggi atau dalam bahasa modennya, optimis. Antonim kepada optimis adalah pesimis. Pesimis adalah sikap yang semakin menyerap ke dalam minda masyarakat pada hari ini. Stigma ‘cukup makan’, ‘ala kadar’ dan ‘tak layak’ adalah antara ungkapan-ungkapan yang timbul akibat daripada mentaliti pesimis.

Rasulullah s.a.w contoh ikutan agung telah menampilkan cara pemikiran orang yang bercita-cita tinggi. Dalam satu kisah penggalian parit dalam Perang Khandak, ada sebuah batu besar menghalang proses penggalian parit. Berkali-kali para sahabat Rasulullah s.a.w menghunjam lembing, namun tidak ada tanda-tanda batu itu retak apalagi hancur. Setelah diminta oleh para sahabat, Rasulullah pun datang untuk cuba memecahkan batu itu. Baginda telah menghentam batu tersebut sebanyak tiga kali sehingga pecah sambil meneriakkan beberapa kata-kata semangat.

Dalam kisah tersebut, Rasulullah telah menunjukkan cita-cita tinggi baginda untuk mencapai kegemilangan Islam. Teriakan Rasulullah ketika memukul batu besar itu, bukan slogan tetapi cita-cita! Baginda sengaja meneriakkan itu dengan suara lantang agar cita-citanya diketahui para sahabat. Baginda ingin cita-cita itu bukan cita-citanya sahaja tetapi menjadi cita-cita kaum Muslimim.

Terbukti teriakan Rasulullah itu benar-benar memberi kesan dalam jiwa para sahabat. Runtuhnya kerajaan Parsi dan Romawi menjadi impian mereka. Impian itu terus membara dan membakar semangat mereka untuk berjuang. Hingga akhirnya beberapa puluh tahun kemudian, dua kerajaan besar itu ditakluk di bawah naungan Islam. Cita-cita itu tercapai. Abu Ayyub al-Anshari yang mendengar secara langsung teriakan Rasulullah s.a.w. ketika itu, turut menjadi saksi bakal runtuhnya kerajaan Romawi. Makamnya hingga kini tetap abadi di antara bangunan di Konstantinopel (kini dikenali sebagai Istanbul, Turki).

Di Malaysia, Tun Dr. Mahathir adalah antara individu yang dikatakan mempunyai cita-cita yang tinggi untuk melihat kegemilangan Malaysia. Wawasan 2020 yang digariskannya menjadi pemangkin kepada Malaysia menjadi negara maju pada tahun 2020.

Selain itu, pelajar-pelajar yang pernah menyertai program-program motivasi pastinya sudah masak dengan penekanan tentang pentingnya meletakkan matlamat yang tinggi untuk berjaya. Matlamat yang tinggi inilah yang akan menjadi kayu pembakar semangat dalam perjuangan mencapai apa yang dicita-citakan.

Kesimpulannya, dalam usaha mencapai kembali kegemilangan Islam, kita perlu bermula dengan melahirkan individu-individu yang mempunyai cita-cita yang tinggi, yang melihat kejayaan bukan sekadar menurut tafsiran manusia biasa, tetapi melihatnya menurut tafsiran manusia luar biasa yang pernah dilahirkan Islam suatu ketika dahulu!

[Rujukan: Hepi Andi Bastoni, Belajar Dari Dua Umar: Kenyangkan Perut Rakyat, 2008, Anbakri Publika]

Share/Save/Bookmark

Leave your response!

You must be logged in to post a comment.