Home » Dunia Islam

Bush Tidak Minat Usaha Damai di Iran

11 October 2008 454 Views No Comment

PENGUMUMAN Amerika Syarikat (AS) bahawa negara itu tidak berminat untuk membuka pejabat konsular di Iran jelas menunjukkan pentadbiran George W. Bush seperti sengaja melepaskan peluang keemasannya untuk melakukan kemajuan bermakna dalam hubungan diplomatik dengan Iran.

Sebaliknya Bush cenderung keluar dari White House dengan dasar luar untuk terus bermusuhan dengan Iran sebagai suatu pakatan kejahatan bersama-sama dengan Korea Utara.

Pengumuman ini dibuat sehari selepas ucapan dasar luar Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki di Majlis Hubungan Luar di New York. Beliau menggunakan platform tersebut untuk mengulangi kecenderungan Iran yang ingin berbaik-baik dengan AS.

Malah ketika menjawab satu soalan, beliau menyatakan dan melahirkan kekecewaannya dengan sikap kerajaan AS yang masih tidak mahu berurusan secara diplomatik dengan Iran.

Mottaki menyatakan berapa lama lagi Iran harus menunggu “permohonan rasmi” AS untuk membuka sebuah pejabat di Iran.

Bahkan Mottaki selanjutnya menyatakan dengan jelas dan terang kesanggupan Iran untuk menimbangkan opsyen “pembekuan untuk pembekuan” ke atas program nuklearnya.

Ini bermakna selama enam minggu Iran akan membekukan kegiatan pengayaan nuklearnya sebagai tukaran kepada pembekuan pelaksanaan sekatan ke atas Iran.

Wakil Iran ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Ali Asghar Soltanieh menyuarakan saranan Mottaki itu tetapi sayangnya segala cadangan Iran seolah- olah mencurah air ke daun keladi tanpa sedikit pun dipedulikan oleh AS.

Adakah ini bermakna AS meragui niat Iran itu? Atau bagi AS hasrat tersebut sekadar usaha berbentuk retorik berupa bahasa perhubungan awam Teheran ketika berada di New York?

Atau ia mempunyai maksud-maksud tersirat yang menyebabkan tidak mudah untuk AS membuat keputusannya sekarang. Sedangkan kalau diukur dari segi kewajaran, ini adalah masa yang sesuai untuk AS menyahut usaha damai Iran.

Malah langkah tersebut bukan sahaja penting untuk AS-Iran malah membantu menyumbang keamanan dunia terutamanya di Asia Barat dan mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini seperti perang nuklear.

Malangnya AS tidak mempunyai kecenderungan ke arah keamanan sejagat sebaliknya kuasa besar itu lebih suka berada dalam onflik dan ketegangan berpanjangan.

Salah satu sebabnya mungkin dikaitkan dengan pendirian calon presiden AS bagi parti Republikan, John McCain yang dalam perdebatan dengan calon bagi Demokrat, Barrack Obama menyatakan bahawa AS tidak akan mengadakan sebarang hubungan langsung dengan Iran.

Jika Bush menerima tawaran Iran ini bermakna memberikan kemenangan kepada Obama.

Pengaruh

Tetapi Bush dan McCain juga sudah terikat dengan peranan dan pengaruh pelobi Israel dalam kempen pilihan raya presiden AS itu. Ini juga ada hubung kait dengan desakan Israel yang mahukan AS menyerang kemudahan nuklear Iran.

AS nampaknya sudah membelakangkan kewajaran dan tindakan benar dalam hal ini kerana terikat dengan kontrak “seumur hidup” bersama Israel. AS berjuang bermati-matian demi keselamatan Israel dan pelobi Yahudinya bukan demi rakyatnya sehingga sanggup membelakangkan kepentingan dan keselamatan nasionalnya.

Apa yang dapat disimpulkan daripada penolakan pelawaan perdamaian Iran oleh AS itu ialah tidak akan ada sebarang perubahan besar dalam dasar AS terhadap Iran bagi Republikan jika ia berkuasa.

Bush sudah melakukan kesilapan yang membuka ruang kepada Obama memenangi kerusi presiden AS.

Apa yang berlaku juga memperlihatkan ketidakupayaan White House untuk mengubah dasar luarnya terhadap Iran sejak 28 tahun lalu selepas berlakunya Revolusi Islam Iran dan penawanan tebusan AS di kedutaan Amerika.

Ia memperlihatkan kelemahan AS untuk membuat keputusan sendiri kerana sudah dirantai oleh unsur-unsur luar seperti Yahudi Zionis yang mencengkam ekonomi dan politik AS.

Perkembangan itu juga menggambarkan sejauh mana usaha dan kecenderungan Iran menghulurkan tangan perdamaiannya kepada Washington, ia masih memilih opsyen perubahan rejim atau serangan langsung ke atas Iran.

Penolakan AS tidak memperlihatkan pemikiran sihat pentadbirannya kerana ketika berhadapan dengan krisis kewangan, AS tidak seharus memilih dasar keras dalam hubungannya dengan Iran.

Sebarang tindakan peperangan ke atas Iran akan membawa penggunaan kos kewangan yang tinggi. Ini tentunya tidak wajar bagi AS dan mereka tidak perlu menuruti kehendak Israel dan pelobi Yahudi yang hanya ingin melihat AS terlingkup demi mencapai hasrat dan objektif mereka.

Jika Obama dilantik presiden AS, beliau juga akan berhadapan dengan perkara yang sama. Bakal presiden AS akan menerima tekanan supaya menyerang Iran. Keupayaan untuk menolak tekanan dan desakan pelobi Yahudi tidak mudah dilakukan.

AS harus menyelesaikan krisis kewangannya dahulu daripada melakukan sebarang tindakan melulu yang akan membawa padah kepada rakyatnya. Pelobi Yahudi yang kaya-raya akan menyelamatkan diri ke Eropah atau ke mana-mana tempat bersama-sama wang mereka.

(Sumber: Utusan Malaysia, 11 Oktober 2008)

Share/Save/Bookmark

Leave your response!

You must be logged in to post a comment.