Bermula di Satu Pengakhiran…
Entah kenapa, di hari lahir kali ini hatiku sayu sekali. Ucapan tahniah dan hadiah yang melimpah, tidak dapat mengusir segala kesepian yang menjengah. Hati terpasung oleh kata-kata yang pernah diucapkan oleh Saiyidina Ali:
“Manusia semua tidur, apabila mati baru mereka terjaga.”
Kata-kata itu menusuk ke lubuk hati. Merobek-robek sisa kegembiraan yang masih ada.
Apakah aku masih tidur? Ah, tidur yang sangat panjang kalau begitu. Teringat pula kata Imam Ghazali:
“Ada manusia yang sedang ketawa ria, sedangkan kain kafannya sedang dirobek-robekkan.”
Ya, esok ulang tahun kelahiranku. Sudah hampir separuh abad aku bernaung di bawah langitMu ya Allah. Belum pun aku terasa menjadi hambaMu yang sebenar. Masih berpura-pura. Alangkah alpa dan berdosanya aku. Apakah sisa umurku masih panjang? Atau hanya seketika lagi. Aku tidak pasti. Ketika ramai teman mengucapkan selamat panjang umur, hakikatnya umurku semakin pendek. Bukankah tarikh mati setiap insane sudah ditetapkan? Dan hari ini, esok dan lusa aku menapak lagi… semakin hampir pada tarikh kematian yang dijanjikan. Duhai, tertipunya aku ketika menerima ucapan selamat hari jadi… selamat pulakah hari matiku?
‘Siapalah aku’ Aku belum bersedia untuk bertemu denganMu ya Allah. Walaupun aku tahu, siapalah aku untuk menyatakan tidak dan tunggu. Ya Allah… segala kekuatan hanya padaMu jua. Kau yang Maha Tahu apa yang terbaik untukku. Aku merayu padaMu ya Allah, pada tarikh ini. Untuk mengemis keampunanMu dengan tangan yang berdosa, dengan hati yang tercela. Jika tidak mengenangkan yang Engkau Maha Pengampun, aku tidak akan datang ya Allah. Rasa malu dan hina untuk meminta. Apakah aku diterima?
Ya Allah, di hari ini kupinta dileraikan kusut fikirku. Mohon dijinakkan nafsu liarku. Tenagkanlah gelojak hati ini. Wahai Yang Maha Adil, kutiplah kau untuk menumpang sekalipun di pinggiran rahmatMu. Walau sering aku lupa, tetapi aku sentiasa mendamba. Entah mengapa gelombang rasa ini sering datang dan pergi. Gelombang mujahadah ini tidak pernah tenang. Jangankan mutmainnah, malah ammarah pula yang sering melanda. Kekadang aku sendiri bertanya, akukah aku ini? Terasa diri bersalin dua, tiga, dan… Ya Allah, jauhkan aku dari topeng munafik yang menipu-daya ini.
Tak mampu menangis Aku bukan Hanzalah yang mencurigai dirinya munafik walau takwanya melimpah. Bukan juga Umar al-Khattab, yang sedikit tega memukul diri walaupun sedikit berdosa. Pun bukan seumpama Rabiatul Adawiyah yang sentiasa berkata:
“Sesungguhnya istighfarku memerlukan satu istighfar lagi.”
Aku juga tidak mampu menangis kerana dosa… Hatiku amat keras. Kucuba menangis dengan rasa kesal. Tapi gagal. Mengapa aku tidak mahu menangis kerana gagal menangis? Ya Allah, kerasnya hatiku ini. Mohon dilembutkan. Atau mohon aku diberi ‘hati’ yang lain. Hati yang ada ini bagaikan sudah mati, ya Allah.
Aku kembara telah jauh. Namun kolam hatiku kian keruh. Beban tambah berat, diriku kian penat. Urusan kian payah. Jiwa semakin gundah. Justeru, mudah-mudahan di hati lahirku ini aku ‘dilahirkan’ semula. Lahir sebagai insan yang mengingatiMu. Yang mmapu hidup antara kekangan takut dan lingkungan harap. Takut, kalau-kalau dimurkai. Harap, minta-minta diampuni.
Hidup menanti mati Buat sahabat, teman dan kenalan… terima kasih atas ingatan kalian. Pada yang jauh, maafkan aku kerana gagal mendekat. Pada yang hampir, maaf kerana tidak pandai membelai. Akhirnya terimalah secebis kata ini (mungkin ini pun masih dari terowong jiwaku yang gelap-gelita). Pesanku:
Marilah kita hidup
Seperti orang yang menanti mati
Kerana ingat mati itu
Akan mengecilkan segala derita
Akan mencairkan segala alpa
Kiranya inilah detik terakhir
Marilah kita mulakan semula
Walau yang masih tersisa
Hanya sedetik cuma
Itu lebih bermakna!
Permulaan yang baik? Ah, kata pujangga, kita akan temui semula sesuatu di tempat yang kita kehilangannya. Dan sesuatu pengakhiran kekadang membawa kita kepada suatu permulaan yang lebih baik. Ah, terima ungkapan dalam bahasa Inggeris yang pernah menjadi hiasan meja sewaktu belajar dahulu:
“In life, what sometimes appears to be the end is really a new beginning…”
Mudah-mudahan. Ini permulaan yang baik. Amin ya Allah! ***
[Sumber: Pahrol Mohamad Juoi]










Leave your response!
You must be logged in to post a comment.