Ansar Yang Bertuah
Andai seorang pemuda bertanya. Apakah jihad orang Islam ini hanya untuk memaksa orang menerima Islam?…hayati kisah sahabat ini dgn meletakkan diri pada situasinya…dan bayangkan apakah yang dicari oleh pahlawan ini dalam hidupnya…nescaya anda akan menemui jawapannya insyaAllah.
Rasulullah S.A.W memasuki kota Madinah, dengan demikian bererti Beliau telah mengakhiri perjalan hijrah yang agung dengan gemilang. Baginda memulakan hari-harinya dengan penuh berkat di Kampung Hijrah, untuk mendapatkan apa yang telah disediakan takdir Ilahi untuknya, yakni sesuatu yang tidak disediakan bagi manusia-manusia lainnya.
Dengan mengenderai untanya, Rasulullah S.A.W. berjalan di tengah-tengah barisan manusia yang penuh sesak, dengan luapan semangat dari kalbu yang penuh cinta dan rindu, berpusu-pusu dan berebut-rebut memegang kekang untanya, kerana masing-masing menginginkan untuk menerima Rasul sebagai tetamunya.
Rombongan nabi itu mula-mula sampai di perkampungan Bani Salim bin Auf; mereka menahan unta Baginda S.A.W. dan berkata: Wahai Rasulullah S.A.W. tinggallah Tuan pada kami, bilangan kami ramai, persediaan cukup, serta keselamatan terjamin dengan baik!”
Tawaran mereka dijawab oleh Rasulullah S.A.W:
“Biarkanlah unta ini berjalan, jangan halangi dia, kerana ia hanyalah melaksanakan perintah Allah S.W.T.”
Kenderaan Nabi S.A.W. terus lalu pada perumahan Bani Bayadhah, lalu ke kampung Bani Sa’idah, terus ke kampong Bani Harith ibnu Khazraj, kemudian sampai di kampong Bani Adi Bin Najjar. Setiap suku atau kabilah itu cuba menahan jalan unta Nabi S.A.W, dan tidak henti-hentinya meminta gigih agar Nabi S.A.W. sudi membahagiakan mereka dengan menetap dikampung mereka. Sedang Nabi S.A.W. menjawab tawaran mereka sambil tersenyum syukur di bibirnya, sabda Baginda S.A.W.:
“Lapangkanlah jalannya, berilah laluan kepadanya\, kerana ia hanya mengikuti arahan…!”
Nabi S.A.W. sebenarnya telah menyerahkan tempat tinggalnya kepada takdir Ilahi, kerana dari tempat inilah kelak lahirnya satu kemasyhuran dan suatu kebesaran. Di atas tanahnya akan muncul suatu masjid yang akan memancarkan kalimah-kalimah Allah dan nur-Nya ke seluruh dunia, selain disampingnya akan berdiri satu atau beberapa bilik dari tanah dan bata kasar yang tiada kemewahan dunia selain barang-barang bersahaja dan sederhana.
Tempat ini akan di huni oleh seorang guru dan Rasul yang akan meniupkan roh kebangkitan pada kehidupan yang sudah padam, dan yang akan memberikan kemuliaan dan keselamatan bagi mereka yang berkata:
“Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap atas pendirian, bagi mereka yang beriman dan tidak mencampurkan keimanan itu dengan kebatilan, Bagi mereka yang mengikhlaskan agama mereka semata-mata untuk Allah S.W.T., dan bagi mereka yang berbuat kebaikan di muka bumi dan tidak berbuat binasa.”
Rasulullah S.A.W. telah menyerahkan sepenuhnya tentang pemilihan ini kepada takdir Ilahi yang akan memimpin langkah perjuangannya kelak. Oleh kerana inilah ia membiarkan sahaja tali kekang untanya terlepas bebas, tidak ditepuknya kuduk unta itu tidak pula dihentikan langkahnya, hanya dihadapkan hatinya kepada Allah, serta diserahkan dirinya kepada-Nya dengan berdoa:
“Ya Allah, tunjukkan tempat tinggalku, pilihkanlah untukku.”
Akhirnya di depan rumah Bani Malik bin Najjar unta itu bersimpuh, kemudian ia bangkit dan berpusing di tempat itu, lalu pergi ke tempat ia bersimpuh tadi dan kembali bersimpuh semula, kemudian tidak berganjak lagi dari tempatnya. Maka turunlah rasulullah S.A.W. dari atasnya dengan penuh harapan dan kegembiraan.
Salah seorang muslimin tampil dengan wajah berseri-seri kerana sukacitanya. Ia maju ke hadapan lalu membawa barang muatan dan memasukkannya ke rumahnya kemudian mempersilakan Rasulullah S.A.W. masuk. Rasulullah S.A.W. pun mengikutinya dengan diliputi hikmah dan berkat.
Orang yang bertuah dan berbahagia ini, telah dipilih takdir tempat berlututnya unta Nabi S.A.W. di depan rumahnya inilah datuk kepada tokoh yang kita bincangkan sekarang ini. Dengan demikian selengkapnya ia bernama Abu Ayyub al-Anshari Khalid bin Zaid bin Malik bin Najjar.
Sesungguhnya pertemuan ini bukanlah kali pertama ia berjumpa dengan Rasulullah S.A.W. Sebelum ini, yakni waktu perutusan Madinah pergi ke Makkah untuk mengangkat sumpah setia atau bai’ah, iaitu bai’ah yang terkenal dan diberkati iaitu “Bai’ah Aqabah kedua,” maka Abu Ayyub al-anshari termasuk di antara tujuh puluh orang mukmin yang menghulurkan tangan kanan mereka ke tangan kanan Rasulullah S.A.W. serta memgang dengan kuat, berjanji setia dan siap menjadi pembela.
Kini, sebaik Rasulullah S.A.W. sudah bermukim di Madinah dan menjadikan kota itu sebagai pusat bagi agama Allah, maka nasib mujur yang melimpah sebesar-besarnya melimpah ke rumah Abu Ayyub. Kerana rumahnya telah dijadikan rumah pertama yang didiami muhajir agung, rasul yang mulia.
Rasulullah S.A.W. telah memilih untuk menempati ruangan rumahnya di tingkat bawah. Tapi sebaik Abu Ayyub naik ke kamarnya di ditingkat atas ia pun jadi menggigil, dan ia tak kuasa membayangkan dirinya akan tidur atau berdiri di suatu tempat yang lebih tinggi dari tempat berdiri dan tidurnya Rasulullah S.A.W. itu. Ia lalu mendesak Nabi S.A.W. tinggal di sana sehinggalah masjid dan bilik-biliknya siap dibina.
Abu Ayyub r.a. ikut menyertai jihad pada jalan Allah S.W.T., mulai dari perang Badar, Uhud dan Khandaq. Pendek kata semua medan tempur dan pernag ia tampil sebagi pahlawan yang sedia mengorbankan nyawa dan harta bendanya untuk Allah Rabbul’alamin.
Bahkan sesudah Rasul wafat pun, tidak pernah ia ketinggalan menyertai pertempuran yang diwajibkan keatas Muslimin sekalipun jauh jaraknya dan berat beban yang akan dihadapi! Slogan dan Cogan kata yang selalu diulang-ulangnya, malam hari atau siang hari adalah firman Allah S.W.T.:
Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah) sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab; dan berhijrahlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (at-Taubah:41).
Hanya satu kali ia berhalangan tidak dapat menyertai peperangan dalam Islam kerana panglima yang dilantik Khalifah adalah salah seorang daripada pemuda muslimin, sedang Abu Ayyub tidak puas dengan kepimpinannya. Hanya sekali sahaja, tidak lebih! Sekalipun demikian, bukan main penyelesalannya atas sikapnya yang disifatkan sebagi kesilapan tersebut yang ianya selalu menggoncangkan jiwanya itu, katanya:
Adalah tidak penting bagiku tentang siapa orang yang akan menjadi atasan-ku.
Kemudian tidak pernah lagi ia ketinggalan dalam peperangan. Keinginannya hanyalah untuk hidup sebagai parajurit dalam tentera Islam, berperang di bawah benderanya dan membela kehormatannya!
Sewaktu terjadi pertikaian antara Ali r.a. dan Muawiyah r.a., Ia berdiri di pihak Ali bin Abi Thalib r.a. tanpa ragu-ragu, kerana dialah Imam yang telah dibai’ah kaum muslimin. Ketika Khalifah Ali bin Abi Thalib r.a. syahid kerana dibunuh, dan khilafah berpindah kepada sahabat Muawiyyah r.a. , maka Abi Ayyub r.a. mengasingkan diri dalam kezuhudan, bertawakkal dan bertakwa. Tidak ada yang diharapkannya dari dunia, beliau hanya mengharapkan suatu peluang untuk berjuang dalam barisan para pejuang agama.
Demikianlah, sewaktu ia dimaklumkan bahawa tentera Islam bergerak ke arah Constantinople. Segeralah ia memegang kuda dengan membawa pedangnya, terus maju mencari syahid yang sudah lama didambakan dan dirindukannya!
Dalam pertempuran inilah ia mengalami luka berat. Ketika panglima-nya pergi menengok dirinya, nafasnya sedang turun naik hendak menemui Allah S.W.T. Maka bertanyalah panglima pasukan yang waktu itu dipegang oleh Yazid bin Muawiyyah r.a. “Apa keinginan Tuan, wahai Abu Ayyub!.
Aneh, adakah di antara kita yang dapat membayangkan atau mengkhayalkan tentang apa yang diinginkan Abu Ayyub? Tidak, sama sekali! Keinginannya sewaktu nyawa hendak berpindah dari tubuhnya ialah sesuatu yang sukar atau hampir tak kuasa manusia membayangkan atau mengkhayalkannya!
Sesunguhnya, ia telah meminta kepada Yazid, agar jasadnya dibawa dan dimuat dengan kudanya sejauh-jauh jarak yang dapat ditempuh ke arah musuh, dan di sanalah ia akan dikebumikan. Kemudian hendaklah Yazid berangkat dengan tenteranya sepanjang jalan itu, hingga terdengar olehnya bunyi tapak kuda Muslimin di atas kuburnya dan diketahui-nyalah bahawa mereka telah berjaya mencapai kemenangan dan keuntungan yang mereka cari!.
Apakah pembaca rasa ini hanya lamunan atau khayalan belaka? Tidak… dan ini bukan khayalan, tetapi kejadian nyata, kebenaran yang akan disaksikan dunia suatu hari kelak, di mana ia menajamkan pandangan dan memasangkan telinganya, hampir-hampir tidak percaya terhadap apa yang didengar dan dilihatnya.
Sesungguhnya, wasiat Abu Ayyub itu telah dilaksanakan oleh Yazid! Di jantung kota Constantinople yang sekarang ini bernama Istanbul, di makamnya itu sebagai orang kudus suci. Dan pembaca akan tercengang jika mendapati semua ahli sejarah yang mencatat peristiwa-peristiwa itu berkata: “Orang-orang Rom sering mengunjungi dan berziarah ke kuburnya dan meminta hujan dengan perantaraannya, bila mereka mengalami kekeringan.”
Sekalipun perang dan pertempuran sarat memenuhi kehidupannya, hingga tak pernah membiarkan pedangnya terletak berehat, namun gaya dan cara hidupnya adalah tenang tenteram laksana desiran bayu di kala fajar datang menjelma. Ini disebabkan ia pernah mendengar ucapan Rasulullah S.A.W. yang tertanam dalam hatinya:
“Bila engkau solat, maka solatlah seolah-olah kali yang terakhir atau hendak berpisah. Janganlah sekali-kali mengucapkan kata-kata yang menyebabkan engkau mesti meminta maaf! Lenyapkan harapan terhadap apa yang berada di tangan orang lain!”
Oleh yang demikian, tidak pernah lidahnya terlibat dalam suatu fitnah, dan dirinya tidak terjerembab dalam kerakusan. Ia telah menghabiskan hidupnya dalam kerinduan ahli ibadah dan ketahanan orang yang hendak berpisah. Maka sewaktu ajalnya datang tak ada keinginannya di sepanjang dan selebar dunia kecuali cita-cita yang melambangkan kepahlawanan dan kebesaran iaitu: “bawalah jasadku jauh-jauh, sejauh jauhnya sehingga masuk ke tanah Rom, kemudian kuburkan aku di sana.” Ini kerana ia yakin sepenuhnya akan kemenangan, dan dengan mata hatinya dilihatnya bahawa wilayah ini telah termasuk dalam taman impian Islam, dalam lingkungan cahaya dan sinarnya.
Kerana itulah ia inginkan ibukota negara itu sebagai tempat istirahatnya yang terakhir, yakni di mana akan terjadi pertempuran yang dahsyat, dan dari bawah tanahnya yang subur, ia akan dapat mengikuti gerakan tentera Islam, mendengar kibaran benderanya, dan bunyi tapak kuda serta gemerincing pedang-pedang yang diiringi dengan alunan takbir yang agung!
Sekarang ini ia masih terkubur di sana. Tetapi tidak lagi mendengar gemerincing pedang, atau ringkikan kuda! Keadaan telah berlalu, dan kapal telah berlabuh di tempat yang dituju, sejak waktu yang lama. Tetapi setiap hari, dari pagi hingga petang didengarnya suara azan yang berkumandang dari menara-menaranya yang menjulang di angkasa.
Dan dengan rasa bangga, di dalam kampungnya yang kekal dan di mahligai kejayaannya ia menghayati maksud firman Allah S.W.T.:
“Inilah apa yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya. Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya.!”










Leave your response!
You must be logged in to post a comment.